Tuesday, January 15, 2013

Men VS Women


Penglibatan kaum wanita dalam dunia politik dari masa ke masa telah menunjukkan peningkatan ketara, selari dengan perubahan zaman dan arus kemodenan. Tidak dinafikan penglibatan kaum wanita dalam politik telah membuktikan bahawa kaum wanita mampu mempamerkan kreadibiliti masing-masing kearah matlamat yang ingin dituju, di samping memberi satu semangat dan keyakinan kepada kaum wanita lain di luar sana. Sekaligus, menunjukkan bahawa taraf kaum wanita adalah setanding dengan kaum lelaki.

Saya dapat merumuskan bahawa di sesebuah negara terdapat kerajaan yang menggalakkan penglibatan wanita dalam urusan pentadbiran negara kerana ingin mencapai matlamat keseimbangan jantina dalam membuat keputusan. Walaubagaimana pun, beberapa kajian menunjukkan bahawa sesetengah negara agak sukar untuk menerima kemasukan wanita dalam urusan politik dan pentadbiran negara kerana bimbang dan kurang yakin dengan kebolehan mereka memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Namun, terdapat beberapa tuntutan demokratik yang disuarakan untuk pergerakan wanita iaitu kesaksamaan gender dalam semua sektor, menamatkan diskriminasi dan keganasan terhadap wanita dan lain-lain lagi. Hal ini, kerana terdapat aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti amalan seks di India dan China, penyeludupan dalam kalangan wanita, buta huruf dan sebagainya. Oleh itu, satu gerakan bagi kesaksamaan wanita telah meneliti semula hak kaum wanita dalam politik dan pengurusan pentadbiran kerana untuk melaksanakan pengagihan semula kuasa formal dan membuat keputusan samada sesuai dipegang oleh kaum lelaki atau wanita. Justeru itu, mereka menyasarkan 30 peratus kerusi diperuntukkan bagi wanita dalam sesuatu institusi seperti parti politik, parlimen, agensi kementerian dan mahkamah. Walaubagaimana pun, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh kelompok ini menerusi proses globalisasi iaitu terdapat isu yang dikaitkan mengenai penglibatan wanita di Asia dalam dunia politik yang mana kaum ini sebenarnya dilihat lebih kepada sebagai penegak hak-hak bagi  kaum wanita. Oleh sebab itu, ramai di antara mereka jarang dilantik untuk memegang jawatan yang lebih ‘tough’ seperti pengurusan dalam kewangan dan perdagangan.

Namun, saya berpendapat bahawa pada era globalisasi ini, sikap diskriminasi terhadap wanita tidak seharusnya diwujudkan dari aspek politik dan pengurusan pentadbiran negara kerana kaum wanita pada era ini adalah setanding dengan kaum lelaki dan mereka mampu memikul tanggungjawab yang diamanahkan selari dengan latar belakang pendidikan mereka yang majoritinya sekarang adalah berkelulusan lebih baik daripada era sebelumnya. Di tambah pula dengan minat dan matlamat mereka untuk menunjukkan kebolehan mereka untuk memimpin, membuat keputusan serta mengurus tadbir kerajaan. Jika golongan wanita ini  tidak diberi peluang untuk menyandang jawatan seperti itu, maka selagi itulah kita tidak dapat melihat kebolehan sebenar di sebalik diri mereka untuk menggalas setiap amanah yang diberikan. Selain itu, saya bersetuju bahawa jarang dalam kalangan wanita yang memegang jawatan kewangan dan perdagangan. Hal ini, kerana saya berpendapat bahawa kaum wanita dikurniakan satu akal dan sembilan nafsu manakala kaum lelaki dikurniakan satu nafsu dan sembilan akal. Perkara ini sebenarnya boleh mempengaruhi identiti dan tingkah laku individu di mana wanita lebih emosional dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh sebab itulah jika bercakap mengenai hak-hak yang berkaitan dengan kaum wanita, wanita akan lebih beremosi dari segi mengetengahkan idea serta pendapat mereka. Berbeza pula dengan kaum lelaki yang mana mereka lebih berhati-hati, teliti dalam membuat sesuatu keputusan. Dalam erti kata lain, lelaki lebih bersikap professional dan konservatif. Oleh sebab itu, ramai dalam kalangan lelaki boleh menjadi pemimpin negara, ketua institusi dan sebagainya. Pada pandangan saya, kaum wanita bukan mahukan hak sama rata seperti kaum lelaki tetapi mahukan keadilan yang saksama yang membolehkan wanita membuat sesuatu perkara seperti kaum lelaki tanpa melanggar hukum karma sebagai seorang wanita yang telah ditentukan oleh Tuhan.
           
Kesimpulannya, penglibatan wanita dalam politik dan pengurusan pentadbiran tidak lagi dipandang aneh pada abad ini jika hendak dibandingkan dengan era sebelum globalisasi yang mana telah banyak berubah dari segala aspek politik, ekonomi dan sosial. Memang tidak dinafikan kaum lelaki adalah pelopor dalam aspek kepimpinan, namun kemasukan kaum wanita sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan melahirkan beberapa matlamat yang kritis hasil dari perbezaan pemikiran, urus tadbir dan membuat keputusan. 

Hak Cipta Terpelihara : Iffadina Ayob

No comments:

Post a Comment